Wednesday 9 April 2014

TAZKIRAH

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

TAZKIRAH HARI INI (Khamis, 10 Jdl. Akhir 1435H)
Kaffarah. 

Pejam celik pejam celik kita sudah berada di bulan Jamadil Akhir. Menghampiri bulan Rejab, Sya'ban dan bulan yang ditunggu-tunggu iaitu Ramadan.  Antara tanda-tanda kita menghampiri bulan Ramadan ialah bila dah ada iklan jualan tapak Bazar Ramadan di dada-dada akhbar, iklan tempahan baju raya, sample-sample kuih raya sudah mula beredar di pejabat dan bilik-bilik guru serta bermacam-macam lagi.

Apa yang perlu kita ingatkan bukan sekadar itu sebenarnya. Tetapi sudahkah kita mengingatkan isteri-isteri dan anak-anak perempuan kita tentang qada' puasa tahun lepas. Sudah berganti atau belum? Sebab sekiranya sehingga melepasi bulan puasa tahun ini sudah melebihi setahun maka wajib qada' puasa dan membayar fidyah.

Begitu juga kepada mereka yang telah  'merosakkan' ibadat puasanya sudah tentu dikenakan 'kaffarah' sebagai denda di atas kerosakan tersebut. Kaffarah bermaksud perbuatan yang boleh menghapus dosa yang berupa membebaskan hamba, bersedekah dan berpuasa dengan syarat-syarat tertentu. 

PENCERAHAN :
Ada pelbagai jenis kaffarah yang berkaitan dengan memberi makan kepada fakir miskin, (gantian) antaranya: 
1. Kaffarah merosakkan puasa kerana suami isteri melakukan jimak pada siang bulan Ramadan. Wajib menqada'kan puasanya dan wajib memberi makan 60 orang fakir miskin. Sekiranya tidak mampu dikehendaki berpuasa dua bulan berturut-turut.
2. Kaffarah musafir dan pesakit yang tidak mengqada'kan puasa pada tahun ia tinggalkan. Wajib menqada'kan puasanya dan membayar fidyah dengan memberi secupak makanan kepada fakir miskin mengikut bilangan hari yang ditinggalkan dan bertambahnya kaffarah dengan bertambahnya tahun.
3. Kaffarah orang tua yang tidak mampu berpuasa. Fidyahnya dengan memberi secupak makanan kepada fakir miskin mengikut bilangan hari yang ditinggalkan
4. Kaffarah wanita hamil dan wanita menyusukan anak apabila berbuka kerana bimbangkan keselamatan anaknya. Wajib mengqada'kan puasanya dan membayar
fidyah dengan memberi secupak makanan kepada fakir miskin mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
5. Kaffarah sumpah. Memberi makan sehingga kenyang 10 orang fakir miskin atau memberi pakaian kepada fakir miskin.
6. Kaffarah nazar. Memberi makan sehingga kenyang 10 orang fakir miskin atau memberi pakaian kepada fakir miskin.
7. Kaffarah zihar. Memberi makan 60 orang fakir miskin sekiranya tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut disebabkan sakit atau tua.

TAKSIRAN KAFFARAH SENDIRI
Kadar nilaian yang telah ditetapkan oleh jabatan-jabatan atau majlis agama Islam negeri adalah mengikut nilaian makanan ruji iaitu harga beras mengikut tahun semasa.
Contoh ; (Sumber MAIWP)
1 cupak beras = ¼ gantang Baghdad
¼ daripada zakat fitrah
Secupak beras (567.5 gram) = RM 1.75 

Sekiranya seseorang tidak mampu berpuasa 60 hari berturut-turut disebabkan sakit atau tua hendaklah memberi makan 60 orang fakir miskin. (60 hari x RM1.75 = RM 105.00) Kaffarah Jimak pada siang hari dalam bulan Ramadan atau Kaffarah Zihar ialah;
1) Memerdekakan seorang hamba atau...
2) Puasa selama 2 bulan berturut-turut atau...
3) Memberi makan kepada 60 orang fakir miskin

Nilaian untuk memberi makan kepada 60 orang miskin adalah sebanyak segantang beras bagi setiap seorang. Ini bermakna sebanyak 60 gantang beras (bersamaan 168 kg anggaran setiap satu gantang berharga RM 3.75) menjadikan jumlah keseluruhan 60 gantang = 60 orang miskin = RM 225.00

KESIMPULAN :
Mengikut kebiasaan masyarakat di Malaysia tidak makan nasi kosong semata-mata. Justeru, menurut Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi nilai ini haruslah dianggarkan kepada jumlah nilai hidangan yang mengenyangkan berdasarkan waqi'iyyah masyarakat setempat. Biasanya nilai harga makanan bagi satu hidangan yang lengkap ialah sebanyak RM5.00. Oleh itu jumlah kaffarah yang perlu dibayar ialah 60 X RM 5.00 = RM300.
Wallahu a'lam - Doakan Istiqamah

No comments:

Post a Comment